Memandangkan Klinik Kesihatan Endau ini adalah jiran klinik saya dan di bawah PKD Mersing di mana saya ditugaskan, saya rasa bertanggungjawab untuk menerangkan kepada masyarakat sekitar kawasan ini tentang fungsi “on call” di KK Endau.
1. KK buka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Pada waktu ini, kes-kes bukan kecemasan seperti batuk, selesema, sakit tekak, sakit kepala, sakit perut, cirit-birit, putus urat kentut dan sbgainya akan dilihat oleh doktor ataupun Penolong Pegawai Perubatan (PPP). Selepas pukul 5 petang, ada PPP dan juga doktor on call. Tetapi ini hanya untuk kes-kes kecemasan seperti kemalangan jalan raya, nak bersalin, angin ahmar, sawan, pengsan, dan penyakit-penyakit lain yang boleh memudaratkan keadaan pesakit. 
2. Pegawai yang on call itu bukan sahaja bertugas selepas pukul 5 petang. Mereka juga bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang seperti anggota yang lain. KK Endau ini memang ramai pesakit semasa waktu pejabat. Kebanyakan masanya tidak tutup pun pukul 5ptg. Pegawai yang ditugaskan kadang-kadang bekerja sampai pukul 6 ptg pun ada. Oleh itu, bayangkanlah kalau semua kes pun diterima pada waktu on-call. PPP terpaksalah bangun kejap-kejap untuk melayan kes yang remeh-temeh. Mereka ini perlu bertugas balik esok pada pukul 8 pagi. Anggota kesihatan pun manusia juga. Kami juga memerlukan rehat.
3. Sepatutnya kes-kes bukan kecemasan boleh pergi ke klinik swasta ataupun beli ubat dari farmasi ataupun pergi ke KK pada waktu pejabat. Jabatan kecemasan di hospital bukan untuk kes-kes ini. Sebab itu jika anda pergi ke Jabatan Kecemasan dengan masalah bukan kecemasan, anda mungkin akan dilayan lambat. Ini kerana pesakit-pesakit yang lebih parah akan dilayan terlebih dahulu. Jika masalah anda dikategorikan sebagai kecemasan oleh pegawai di triage (kaunter depan) anda akan dilayan lebih cepat. Menunggu itu bagus. Ia menandakan penyakit anda tidak memudaratkan.
4. Kami rakyat Malaysia dah manja sangat dengan sistem kesihatan sebab bayar RM1 dan boleh dapatkan perkhidmatan dan ubat-ubatan pelbagai jenis. Tolong jangan menyalahgunakan sistem ini. Kalau bukan kecemasan dan tidak mahu mengeluarkan duit untuk ke swasta atau ke farmasi, boleh tunggu sampai keesokkan harinya apabila KK dah buka. Tapi kalau memang kecemasan, datang je lah, anda akan dilayan dengan terbaik. Kami sedia membantu.
5. Kalau tidak puas hati dengan layanan kami, anda boleh membuat aduan secara rasmi dan kami akan menyiasat lebih lanjut. Tidak guna pun viralkan kat media sosial. Cuma nampak seperti anda adalah orang yang kurang matang pemikirannya.
5. Oh..dan lagi satu, undang-undang dalam gambar ini bukan baru ya. Ianya sudah lama dikeluarkan. Harap maklum.
Sekian penerangan saya. Terima kasih kerana membaca.

Sumber : Sharan Kaur

Comments

comments