Pengorbanan si ibu sewaktu melahirkan si anak, berjuang antara hidup dan mati. meletakkan nyawanya di hujung rambut, demi kelahiran anaknya yang telah dikandung sembilan bulan. Sakitnya bukan kepalang, hingga dikatakan sakit bersalin itu adalah sakit yang kedua tersakit setelah sakitnya mati.
Hinggakan Rasulullah meletakkan, jika seorang ibu itu mati ketika melahirkan anaknya, dikira sebagai mati syahid.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tahukah kalian siapa syuhada dari ummatku? orang-orang yang ada menjawab: Muslim yang mati terbunuh” beliau bersabda: Kalau hanya itu para syuhada dari ummatku hanya sedikit. Muslim yang mati terbunuh adalah syahid, dan mati kerana penyakit kolera adalah syahid, begitu pula perempuan yang mati kerana bersalin adalah syahid (anaknya yang akan menariknya dengan tali pusarnya ke syurga)” (HR. Ahmad, Darimi, dan ath-Thayalusi)
Adakah seorang insan selain ibu sanggup menggadai nyawanya sebagai taruhan melahirkan kita? Malah setelah kelahiran berlaku, ibu tidak terus sihat, dia terus tidak bermaya, keletihan dan sakit kerana melahirkan…tetapi bila dengar tangisan si anak, hilang segala keletihan dan kesakitan.
Setelah kelahiran, bermula satu lagi episod pengorbanan ibu. Ibu akan berjaga sepanjang malam untuk menyusukan, melayan akan yang menangis kerana kebasahan kencing atau kelaparan..
Kasih sayang ibu terserlah lagi…ketika badan si anak penuh najis kerana kencing dan berak, ibu menghadiahkan ciuman kepada anaknya. Mengapa anak dalam keadaan busuk itu dicium juga? Kerana di hati ibu ada cinta yang amat mendalam.

Comments

comments