Gara-gara terpaksa duduk bersebelahan dengan lelaki gemuk selama sembilan jam semasa penerbangan dari Cape Town, Afrika Selatan ke Dubai, seorang peguam mengemukakan saman terhadap Emirates Airlines bagi menuntut ganti rugi berjumlah 2,375 pound (RM12,737). Giorgio Destro dari Padua, utara Itali mendakwa dirinya peme­gang kad emas Emirates namun tidak dibenarkan menukar tempat duduk selain syarikat penerba­ngan itu enggan memohon maaf dan membayar ganti rugi akibat kesulitan yang dialami.
“Selama sembilan jam saya terpaksa berdiri di lorong, duduk di tempat yang dikhaskan untuk anak kapal apabila kosong dan akhir­nya melalui penyeksaan ‘limpahan’ tubuh penumpang di sebelah saya,” ujarnya. Beliau dilaporkan me­minta untuk menukar tempat duduk beberapa jam sebelum berlepas namun diberitahu semua tempat duduk sudah habis ditempah. Destro yang sebelum ini bertugas di Konsulat Itali di Afrika Selatan turut merakamkan gambar selfie bersama penumpang sebe­lahnya sebagai bukti.
Beliau menuntut 653.87 pound (RM3,506) sebagai bayaran balik tiket penerbangan dan 1,721.81 pound (RM10,725) untuk kerosakan lain yang dialaminya. Jurucakap Emirates membe­ritahu Mail Online Travel, pihak­nya tidak boleh memberi sebarang ulasan kerana kes itu melibatkan undang-undang. Kes berkenaan akan didengar di mahkamah pada 20 Oktober ini di Padua. Insiden berkenaan bukan yang pertama melibatkan rungutan penumpang yang terpaksa duduk bersebelahan penumpang gemuk.
Pada Julai lalu, seorang pereka dalaman, James Andres Bassos mengemukakan saman terhadap syarikat penerbangan Etihad Airways di Queensland kerana mendakwa terpaksa mengherotkan badannya sepanjang penerbangan dari Sydney ke Dubai pada 2011. -AP

Comments

comments