Semua orang berangan-angan untuk jadi jutawan atau, setidak-tidaknya, hidup senang-lenang sehingga tua dan dapat pula mewariskan kekayaan kepada anak-anak.

Tetapi berapa ramai yang dapat mengejar cita-cita itu? Atau, berapa ramai yang tahu bagaimana menukar impian itu untuk menggapai kejayaan?

Portal akhbar terkenal Sydney Morning Herald di sini semalam mendedahkan tujuh tabiat yang diamalkan oleh mereka yang pernah berusaha keras menjadi jutawan.

Nasihat ini diambil daripada Thomas Corley, pengarang buku “Change Your Habits, Change Your Life”, yang mengkaji amalan kehidupan jutawan dan orang miskin selama lima tahun.

Kata Corley, 52 peratus orang kaya percaya amalan hidup sangat penting untuk meraih kekayaan tetapi hanya 3 peratus orang miskin percaya pada disiplin diri.

Berikut tujuh perkara yang disebut akan membantu kita mengejar kekayaan:

1. Ghairah untuk capai kejayaan

Tujuan yang jelas dan semangat berkorbar-kobar sangat penting. Ia membekalkan tenaga untuk menghadapi kesilapan, kegagalan dan penolakan orang lain, kata Corley.

2. Membaca untuk majukan diri

Jutawan suka membaca akhbar dan buku pelbagai topik, antaranya panduan berjaya, pembinaan peribadi atau sejarah mereka yang sudah berjaya, kata Corley lagi.

“80 peratus orang kaya menghabiskan 30 minit atau lebih setiap hari untuk memajukan lagi diri melalui pembacaan,” katanya dalam buku itu.

“Kebanyakan mereka membaca bukan untuk melayan fikiran … Orang kaya membaca untuk mendapatkan pengetahuan.’

 

3. Bersenam sihatkan fikiran

Senaman mengubah pencapaian lemah Barack Obama kepada kejayaan, kata presiden Amerika Syarikat dalam buku dirinya “Dreams From My Father”.

Sir Richard Branson, pengasas Virgin Group, bersenam setiap hari – termasuk yoga, mendaki, berlari atau angkat berat – untuk meningkatkan pencapaian fikiran dan menjadi lebih produktif.

“76 peratus orang kaya bersenam 30 minit atau lebih setiap hari,” kata Corley. Tambahnya, jantung yang sihat bukan sahaja baik untuk jasad tetapi juga untuk akal.

“Ia menyuburkan neuron (sel otak) di dalam otak … Senaman juga meningkatkan pengeluaran glukosa. Glukosa itu bahan api untuk otak,” kata penulis buku itu lagi.

4. Suka berjimat dan menabung

Peraturan 80/20, yakni gunakan 80 peratus saja pendapatan dan simpan baki 20 peratus, menjadi tabiat orang kaya, kata pengarang buku “Change Your Habits, Change Your Life”.

“Kaya bukan hanya membuat duit,” jelasnya. “Ia bermakna banyak menyimpan, dan mengumpul kekayaan. Ramai yang saya kaji menjadi kaya bukan kerana mencipta wang tetapi kerana mereka banyak menabung.”

Malah, 88 peratus orang yang ditelitinya berkata menyimpan wang sangat-sangat penting untuk membina kejayaan mereka.

5. Ada pembimbing dan berikan bimbingan

Berjaya tidak bermakna melakukannya seorang diri. Semua yang sudah berjaya termasuk Mark Zuckerberg, Bill Gates atau Richard Branson memerlukan bimbingan, lapor portal itu lagi.

Corley berkata pembimbing meletakkan seseorang di anak-anak tangga kejayaan. Mereka boleh berkongsi kisah sebenar daripada langkah-langkah kejayaan dan kegagalan mereka.

Jadi, tambah penulis itu, mengumpul kekayaan juga memerlukan “kerja bersama-sama”, menerima bimbingan mentor dan menjadi mentor memandu kejayaan orang lain.

6. Bina hubungan baik

Hubungan baik dengan orang tersayang dan dekat dengan kita memang mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan diri.

Kira-kira 88 peratus jutawan percaya “hubungan baik sangat penting untuk kejayaan kewangan.” Tetapi di kalangan orang miskin, hanya 17 peratus percaya pada amalan ini, kata Corley.

Hubungan yang baik membuatkan kita gembira, membina sokongan moral, memotivasi diri dan selalunya akan membuka peluang-peluang kejayaan.

Pengarang ini mencadangkan kita memisahkan kenalan atau mereka yang tidak baik daripada keliling pinggang kita.

7. Mencari ketenangan diri

Mereka selalu merenung diri sendiri, mencari kelemahan diri untuk diatasi atau memastikan diri tidak terbabas daripada landasan kejayaan.

Oprah Winfrey, Rupert Murdoch dan Ray Dalio selalu bermeditasi, menyemak diri. Kerana, kata Corley lagi, fikiran yang jernih kunci utama kejayaan.

Sebab itu ramai orang kaya menghabiskan antara 15 hingga 30 minit memuhasabah, sama ada mereka atas landasan betul dalam soal kesihatan, senaman, hubungan dengan orang lain dan urusan kerja.

Comments

comments