Status Pertunangan Sufian Dan Elfira Menjadi Tanda Tanya

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi, tidak menolak kemungkinan ada campur tangan orang ketiga dalam isu berkaitan pertunangannya dengan pelakon, Elfira Loy, 24.

Bagaimanapun, artis yang popular dengan lagu Terakhir itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara terbabit, sebaliknya menegaskan perkahwinan bukankah sesuatu yang boleh dibuat main-main.

“Sangat rumit untuk saya perkatakan mengenai perkara ini kerana ia bukan hanya berkaitan saya dan El (Elfira), tetapi turut membabitkan kedua-dua belah keluarga.

“Mungkin (ada campur tangan orang ketiga)… Perkahwinan sesuatu yang besar dan tak boleh dibuat main-main. Sebab itu kami menghormati pandangan semua orang dalam keluarga,” katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Meletop Era 2018, di sini, hari ini.

Isu status pertunangan Sufian, 26, dan Elfira menjadi perhatian apabila masing-masing jarang memuat naik gambar bersama di laman sosial, tidak seperti ketika kedua-duanya berada di alam percintaan.

Keadaan itu tentu saja membuatkan peminat kedua-duanya tertanya-tanya mengenai perancangan perkahwinan mereka yang dijangka pada Mac depan.

Mengharapkan ikatan pertunangan yang terjalin sejak Oktober tahun lalu itu berakhir dengan baik buat kedua-dua pihak, Sufian menyifatkan kesibukan tugas menyebabkan hubungan mereka agak terbatas.

“Seperti pasangan lain, pasti ada dugaan dalam pertunangan. Begitu jugalah dengan kami. Doakan yang baik-baik untuk kami, mudah-mudahan ada pengakhiran yang baik.

“Apabila isu ini timbul, saya tidaklah berasa tertekan sebab saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Apa saja yang saya buat, mereka tidak menghalang,” katanya.

Sufian juga berkata, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan ia membantu menjadikan dirinya lebih matang.

“Kami berharap ia dapat berakhir dengan baik kerana hanya kami yang tahu apa sebenarnya berlaku. Jadi, janganlah membuat kesimpulan tanpa mengetahui apa yang kami lalui,” katanya.

Rujukan Berita harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.