Satu patung dengan rupa yang agak menyeramkan telah dicipta bagi menggambarkan bagaimana gamer tegar akan kelihatan dalam masa 20 tahun.

Satu kajian terhadap kesan permainan komputer ke atas tubuh manusia telah dijalankan oleh sebuah laman web Kanada, yang kemudiannya mencipta patung bernama Michael itu menggunakan data yang diperolehi.
Menurut penyelidikan, peminat game secara puratanya menghabiskan sekitar enam jam seminggu di atas talian, yang merupakan peningkatan sebanyak 19.3% dari tahun lepas.
Selain kekurangan tidur dan kekurangan vitamin D, gamer juga boleh mendapat ekzema yang disebabkan oleh tekanan, serta postur yang lemah.
Walaupun menghabiskan beberapa jam bermain game selama berminggu-minggu bersama rakan-rakan tidak kedengaran begitu berbahaya, tetapi kesannya akan terbukti dalam jangka masa yang panjang.
Berdasarkan model patung tersebut, Michael mempunyai lengkuk pada tengkoraknya diakibatkan daripada tekanan headphone, yang turut menyebabkan keguguran rambut.
Selain itu pemakaian headphone yang berterusan juga dapat membuat telinga berbulu kerana kekurangan peredaran udara.
Tambahan pula, mata Michael juga berurat dan merah (bloodshot) akibat kekurangan tidur dan terdedah pada cahaya skrin dalam masa yang lama.
Tubuhnya menjadi bongkok akibat kekurangan pergerakkan dan duduk dalam postur yang salah, serta perut menjadi buncit atau obesiti kerana tabiat makan makanan ringan.
Ketagihan permainan komputer kini diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu masalah kesihatan mental sebenar.
Berikutan itu, pemain game dinasihatkan untuk memastikan mereka melakukan senaman secara konsisten, bermain dalam bilik yang terang untuk mengelakkan ketegangan mata, memakan makanan yang sihat, dan menggunakan kerusi yang bagus agar postur badan tidak rosak.
Sumber: The Sun