Satu kejadian menakjubkan berlaku baru-baru ini apabila sebuah telefon pintar dijumpai dalam keadaan yang baik selepas setahun terjatuh ke dalam tasik. Siapa sangka, iPhone 11 itu masih berfungsi dengan baik walaupun berada di dalam tasik itu selama setahun. Malah, tiada kerosakan yang ditemui pada model telefon itu.
Pemilik iPhone itu iaitu seorang lelaki di Taiwan berkongsikan pengalaman mengejutkan itu di media sosial dan menarik perhatian ramai. Lelaki itu memberitahu dia kehilangan iPhone 11 itu pada bulan Mac 2020 semasa melakukan aktiviti mendayung di Sun Moon Lake, di Taiwan.

Gambar semasa hari kejadian turut dikongsikan di mana dapat dilihat dengan jelas dia menggantungkan telefon pintar itu di lehernya. Model iPhone 11 itu juga diletakkan di dalam kantung kalis air sesuai untuk mereka yang mahu melakukan aktiviti air. Tetapi tanpa disedarinya, tali yang tergantung pada lehernya terputus dan menyebabkan iPhone 11 itu jatuh ke dalam tasik.
Siapa sangka setahun telah berlalu selepas kejadian itu, namun baru-baru ini dia ada menerima berita baik. Seorang rakannya yang menemaninya pada hari kejadian memberitahu dia mungkin akan berjumpa semula dengan telefon pintarnya itu. Walaupun pada awalnya dia menganggap rakannya itu hanya bergurau, rupa-rupanya tekaannya benar!

Oleh kerana hujan yang jarang berlaku, permukaan air di kawasan tasik itu menurun dan rakannya berjaya menemui telefon itu dari dasar yang berlumpur. Lelaki itu tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan sudah setahun telefonnya itu berada di dalam air ditambah pula dengan kantung itu yang diselaputi dengan lumpur.

Tetapi setelah membukanya, dia terkejut melihat iPhone 11 miliknya itu kering dan dalam keadaan yang baik cuma hanya kehabisan bateri. Dia memberitahu fungsi pengecasan tanpa wayar dan kabel berfungsi dengan sempurna. Malah, telefon pintar itu juga berfungsi dengan baik selepas mempunyai bateri yang cukup. Lelaki itu turut memuji kantung kalis air yang dipakainya itu yang diibaratkan seperti penyelamat untuk iPhone 11 itu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di bawah:
Lelaki Thailand Beli iPhone Online Tapi Dapat Meja Gergasi Ini
iPhone 6s Jatuh Dari Ketinggian 2000 Kaki Dan Ia Masih berfungsi!
Pak Cik Berkopiah Kaku Terserempak Polis Trafik Dekat Lampu Isyarat